Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 Dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia 10 Oktober 2009 |
Artikel asal: http://h1n1.moh.gov.my/KenyataanAkhbarTerkini.php |
Pada hari ini seramai 216 pesakit baru dengan gejala Influenza-Like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan sementara 241 kes telah didiscaj. Sehingga kini, jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 706 kes di 88 buah hospital termasuk 10 hospital swasta. Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 60 pesakit atau 9% merupakan kes Influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal.
Daripada 60 orang pesakit Influenza A (H1N1) yang menerima rawatan di hospital, sebanyak 8 kes atau 13% sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Pada hari ini terdapat 1 (satu) kemasukan kes baru ke Unit Rawatan Rapi sementara tiada kes didiscaj. Untuk makluman, kesemua 8 kes yang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko seperti berikut; kanak-kanak bawah 5 tahun (3), penyakit kronik (3), obesiti (1) dan seorang dengan dua faktor risiko, iaitu bawah 5 tahun serta penyakit kronik.
Tiada kematian akibat Influenza A (H1N1) yang didaftarkan hari ini di Malaysia menjadikan jumlah kematian kekal 77 orang.
Sempena musim peperiksaan PMR ini, Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga terutamanya mereka yang mempunyai anak yang sedang menduduki peperiksaan supaya sentiasa memantau tahap kesihatan anak-anak mereka. Sekiranya anak-anak mereka menunjukkan simptom Influenza-Like Illness (ILI), pastikan mereka mendapatkan rawatan segera daripada klinik atau hospital berhampiran. Selain itu, ibu bapa atau penjaga juga dikehendaki memaklumkan kepada pihak sekolah tentang kesihatan anak masing-masing supaya tindakan yang bersesuaian dapat diambil oleh pihak sekolah.
Kementerian Kesihatan juga ingin meminta kerjasama petugas-petugas yang mengawasi peperiksaan supaya mengasingkan pelajar yang mempunyai gejala ILI daripada pelajar yang sihat. Pelajar yang mempunyai gejala ILI dikehendaki memakai topeng muka memandangkan selagi pelajar itu masih mempunyai tanda-tanda atau gejala, pelajar tersebut masih menjadi punca jangkitan kepada pelajar lain.
Pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan juga perlu mengamalkan cara hidup yang sihat iaitu tidur yang cukup, makan makanan sihat, meminum air secukupnya dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri serta kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun terutama selepas menyentuh mulut dan hidung atau permukaan yang berpotensi dicemari virus. Elakkan menyentuh mulut dan hidung jika ia belum dibersihkan atau dicuci. Segera memberitahu ibu bapa/penjaga dan guru sekiranya mempunyai gejala ILI supaya tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan sebarang kesulitan untuk mereka menduduki peperiksaan.
- Terus mengamalkan kebersihan diri sepanjang masa khususnya kerap mencuci tangan, adab batuk yang betul serta sentiasa membawa bersama kit H1N1 (topeng mulut dan hidung, tisu dan sanitizer).
- Individu yang mempunyai simptom selesema digesa agar tidak mengunjungi tempat-tempat awam yang sesak bagi mengelakkan penularan penyakit ini.
- Kurangkan masa berada di tempat-tempat yang sesak dengan orang ramai seperti kompleks membeli belah, rumah ibadat dan stesen pengangkutan awam.
- Golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi digesa mengelakkan bergaul rapat dengan mereka yang mempunyai simptom ILI (Influenza-Like Illness). Mereka juga mesti mendapatkan RAWATAN dengan SEGERA apabila mengalami sebarang simptom ILI.
- Amalkan cara hidup sihat, khususnya tidak merokok, makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal.
- Pihak majikan/pentadbiran diminta melaporkan kejadian-kejadian jangkitan Influenza-Like Illness (ILI) atau jumlah ketidakhadiran (absenteeism) di sekolah atau di tempat kerja yang luar biasa kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.
Maklumat serta perkembangan terkini jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperoleh melalui talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang, melalui e-mel di cprc_h1n1@moh.gov.my serta laman web Kementerian Kesihatan iaitu di http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my .
Sekian, terima kasih.
(TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN)
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
10 Oktober 2009
0 comments:
Post a Comment